Wednesday, April 2, 2008

'Memang dia pujaan hati'

'Memang dia pujaan hati'

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Zaidi Mohamad


TIADA RAHSIA: Reaksi Ikin dan Mawi sewaktu soal jawab dengan wartawan.

Pengakuan Mawi melegakan Ekin sekali gus mengesahkan status hubungan mereka

KETIKA hendak berucap selepas menerima trofi Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2007), Mawi dengan nada bersahaja meminta Fauziah Datuk Ahmad Daud mewakilkan dirinya mengucapkan terima kasih kepada Ikin, kerana menjadi antara orang penting di belakang kerjayanya sebagai penyanyi.

“Saya serahkan kepada akak (Ogy) mewakili saja...” kata Mawi menjawab usikan Ogy dan Raja Azura kenapa nama Ikin tidak ada dalam senarai untuk disebut ketika diumumkan sebagai Bintang Paling Popular.


Memang Mawi kelihatan malu-malu untuk menyebut nama Ikin secara terbuka dalam sebuah majlis yang disiarkan secara langsung oleh TV3 ini. Realitinya, dalam majlis minum petang di Genting Highlands juga, beberapa jam sebelum acara kemuncak ABPBH 2007 berlangsung, penyanyi itu mengaku Ekin ialah wanita istimewa yang bertakhta di sanubarinya.

Kata Mawi, dia menyukai Ikin kerana perangainya yang ‘gila-gila’, sikapnya yang matang serta keserasian mereka sebagai teman.

Pengakuan itu akhirnya memuktamadkan hubungan antara Mawi dengan Ikin. Ikin yang hadir sama di majlis ini, berkata, dia tidak pernah menafikan atau mengesahkan kepada mana-mana wartawan setiap kali ditanya mengenai corak hubungan mereka.



“Saya ini perempuan. Takkan saya pula yang ke sana sini menjual cerita. Lebih baik saja saya mengikut arus semasa dan saya percaya, adalah lebih baik jika pengumuman itu datang dengan sendirinya. Kami pula memang berkawan rapat, tetapi tidak pula menyatakan perasaan sebenar masing-masing. Namun, dalam hati, kita dapat merasainya juga,” katanya.

Bagaimanapun, Ikin menghela nafas lega apabila Mawi membuat keputusan menamatkan tanda tanya mengenai siapakah kekasihnya ketika majlis minum petang itu. Ikin menyambutnya dengan hati yang tenang dan terbuka.

Namun begitu masih ada gosip mengatakan yang Ikin sudah menempah baju kahwin dengan pereka fesyen terkenal. Biar betul? Menafikan gosip itu, Ikin memberitahu yang semuanya dilakukan atas dasar kerja dan profesionalisme.

“Alhamdulillah, Ikin lega dengan pengakuan Mawi. Selepas ini orang lain tidak lagi akan tertanya-tanya tentang perihal hubungan kami. Tak tahulah lepas ini kami akan terus difitnah atau tidak. Terperanjat juga Ikin apabila Mawi membuat pengakuan yang Ikin istimewa di hatinya. Masa itu, Ikin buat relaks saja, padahal dalam hati ini hanya tuhan saja yang tahu gejolak perasaan Ikin.

“Ikin pun tidak tahu, kenapa tiba-tiba Mawi tergerak hati untuk berbuat sedemikian. Mungkin juga sebelum ini Mawi belum bersedia untuk merungkaikan segalanya. Mungkin juga Mawi berasakan inilah detiknya untuk dia berterus-terang sekaligus menamatkan spekulasi yang melanda. Mungkin juga Mawi penat untuk berdepan dengan gosip cintanya.

“Mengenai kisah tempah baju kahwin daripada pereka fesyen terkenal, itu semua tidak betul. Sebenarnya, Ikin akan terbabit dengan pertunjukan menggayakan pakaian rekaan pereka itu pada pada 18 April ini, yang turut membabitkan deretan nama selebriti. Ikin salah seorang daripada mereka. Mungkin bila orang nampak Ikin pergi ‘fitting’ baju kahwin untuk pertunjukan itu disangkanya menempah baju kahwin,’’ ungkap Ikin yang berbangga dengan kejayaan Mawi sebagai Bintang Paling Popular 2007 buat kali ketiga.

Mendasari hati Ikin, dia memang begitu gembira melayari kehidupannya bersama Mawi atas sebuah paksi cinta. Apakah ini akan menyaksikan terbinanya ikatan murni melalui perkahwinan tidak lama lagi di antara mereka? Tegas Ikin lagi, siapalah yang tak nak kahwin di usia Ikin yang akan mencecah 29 tahun menjelang 5 November ini.

“Siapa yang tak nak kahwin? Semestinya Ikin nak kahwin, cuma buat masa sekarang Ikin tak berani untuk bercakap lebih bimbang dikata cuba meraih publisiti murahan. Kita hanya merancang. Insya-Allah bila benda dah jadi dan pasti, Ikin akan ringan mulut memberitahu rencana selanjutnya.

“Ikin hanya ikut rentak dalam sesebuah perhubungan. Ada jodoh dengan Mawi, Ikin pasti hebahkan. Ikin sedar kalau buat benda baik pun, orang mengata, begitulah sebaliknya. Ikin redha. Setakat ini memang Ikin boleh cakap memang tak ada mana-mana rombongan yang akan datang merisik,’’ kata Ikin yang mengakui cincin sedondon tersarung di jari manis Mawi, ialah pemberiannya sebagai tanda ‘’persahabatan’’. Ikin juga memiliki cincin yang sedondon dengan Mawi.

Tidak menafikan yang hubungannya dengan Mawi semakin mekar bahagia, Ikin rela menerima suratan takdir andai suatu hari nanti jodoh menyatukannya dengan Mawi. Mengenali adik-beradik kembar ini, hanya maut dan perkahwinan yang mungkin dapat memisahkan keakraban dan hubungan mereka. Sambil mengusik, Ikin tak nak melangkah bendul kakak kembarnya, Aenn. Begitulah sebaliknya.

“Ikin mahupun Mawi tiada masalah dalam hubungan cinta. Pernah Ikin ditanya, bila Ikin dan Mawi berjumpa? Kami keluar bukan berdua sebaliknya beramai-ramai. Kami keluar pun ikut keadaan, apabila masing-masing ada kelapangan waktu.

“Pada Ikin kalau ditanya soal jodoh dengan Mawi kuat, Ikin redha dan menerimanya dengan hati terbuka. Soal jodoh siapa sampai dulu antara Ikin dan Aenn itu terpulanglah. Ikin sudah bersedia berumahtangga. Tapi jodoh, maut dan ajal semua di tangan Tuhan. Ikin berserah kepada takdir dan berdoa yang sehabis baik,’’ kata Ikin yang semakin manis sejak tampil dengan imej berjilbab pada Aidiladha tahun lalu.



P/s: sesuai ke?

0 comments: